News


mardi menyasarkan 800 penternak moden melibatkan kambing boe

SABTU, FEBRUARI 25, 2012 

PASIR PUTEH – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menyasarkan 800 penternak moden melibatkan kambing boer bagi tahun ini di seluruh negara.

Timbalan Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Dr Mohmad Mustafa berkata, ini ekoran daripada permintaan yang tinggi setiap tahun iaitu sebanyak 250,000 tan daging kambing.

“Permintaan yang tinggi itu juga menyebabkan perbelanjaan berjumlah RM180 juta setahun dikeluarkan oleh kerajaan bagi mendapatkan bekalan daging kambing daripada luar negara seperti Australia walaupun ia mengandungi kadar kolesterol yang tinggi berbanding kambing boer di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui ketika Latihan ‘Hands-On’ Penternakan Kambing Boer Modul Dua di Stesen Mardi Jeram Pasu, di sini, semalam.

Hadir sama ke latihan yang dihadiri 40 orang peserta itu ialah, Pengarah Mardi Kelantan, Aminah Abdullah.

Mohmad berkata, untuk mencapai sasaran tersebut pihaknya sedang memperkenalkan pendidikan ternakan kambing boer secara komersil menggunakan teknologi pengeluaran baka ternakan kambing boer secara komersial dan pengurusan serta pengeluaran pastura.

Beliau berkata, industri penternakan kambing dijangka akan berkembang pesat di negara ini dengan pertumbuhan pada kadar 6.7 peratus setahun untuk tempoh dari 2006 hingga 2010.

“Tiga jenis kambing yang dikenal pasti berpotensi diternak di negara ini ialah dari jenis baka daging, tenusu dan bulu di mana pengusahanya perlu dimantapkan dengan ilmu pengetahuan baru, kajian dan pengembangan projek serta pengurusan yang berasaskan teknologi moden yang menepati disiplin memelihara ternakan untuk tujuan perdagangan,” katanya.

Mohmad berkata, dalam perkembangan terbaru kambing boer semakin menjadi pilihan penternak kerana mutu dagingnya yang tinggi dan senang untuk diternak.

Katanya, kambing tersebut mula diternak di negara ini selepas diperkenalkan dan dibawa oleh Mardi pada tahun 2001 dari Afrika Selatan berbanding sebelum ini baka tersebut diimport dari Australia.

“Kelebihan yang ada pada kambing tersebut adalah kesuburannya yang mudah membiak sepanjang tahun, mempunyai banyak daging kerana tulangnya yang nipis berbanding kambing lain, serta rendah kalori dan kaya dengan protein.

Menurutnya, selain itu pasaran global yang terbuka berikutan pengesyoran Kesatuan Jantung Amerika yang menggalakkan amalan pemakanan daging kambing beor di kalangan pengguna yang menghadapi masalah berkaitan jantung.

Sementara itu, program sehari yang diadakan di Mardi Jeram Pasu tersebut melibatkan pendidikan mengenai kawalan penyakit, pemilihan baka yang berkualiti, proses pembiakan baka dan latihan amali yang melibatkan penggunaan ‘Ultra Sound Sacnning’ bagi mengesan kambing bunting, penggunaan alat penanda kekerapan kambing mengawan, kaedah memotong kuku kambing serta rawatan menggunakan teknologi ‘GenKimo’.

Di Kelantan, terdapat dua pusat pendidikan sehenti berkaitan penternakan kambing beor yang membuka peluang kepada penternak untuk mengikuti kursus diadakan ialah di Stesen Mardi Jeram Pasu, di sini dan di Stesen Mardi Sungai Aring, Jeli. – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment